KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakthi meminta Ketua Polis Negara dan Peguam Negara melakukan siasatan terhadap kematian A. Ganapathy yang didakwa dipukul polis ketika dalam tahanan.

Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, pihaknya telah hantar surat permohonan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasat.

“Isu kartel dalam PDRM belum lagi habis, kini timbul pula isu kematian tahanan A Ganapathy ini. Tapi ingin saya katakan kematian dalam tahanan ini bukanlah satu perkara luar biasa sebaliknya kita sudah hadapinya sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kes itu masih disiasat dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat TPR dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya memulakan siasatan kes itu selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada 11 Mac lalu yang mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kaki Ganapathy dipotong.

Arifai berkata, mangsa sebelum itu ditahan bersama dengan seorang lelaki pada 24 Februari lalu dan direman selama 12 hari dari 25 Februari hingga 8 Mac bagi membantu siasatan dua kes iaitu samun kilang serta mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, setiap tahun mesti ada individu mencetuskan sensasi namun bukan kerana perbuatan mereka sebaliknya apa yang terjadi kepada mereka.

Beliau yang tidak nafikan mereka ditahan kerana kesalahan jenayah berkata, terdapat peruntukan undang-undang untuk menghukum mereka.

Dalam pada itu Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih melahirkan kekecewaan di atas kematian Ganapathy yang dirasakan tidak sepatutnya berlaku.

Jelas Shanmugam, pihaknya tidak mahu menuding jari kepada polis namun pihak berwajib termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melakukan siasatan rapi.

“Ramai yang terkejut, marah dan rasa sangat tidak selesa apatah lagi berdepan dengan polis. Sampai bila kami perlu bersuara dan ‘mengemis’ untuk keadilan seperti ini? Apakah nyawa manusia ini sudah tidak ada harganya,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast