Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang tinggal di asrama dibenarkan pulang sempena Cuti Hari Raya Aidilfitri secara berperingkat bermula 6 dan 7 Mei 2021.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pelajar dalam Kumpulan A yang meliputi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibenarkan pulang pada 6 Mei.

Manakala murid asrama di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan pulang pada 7 Mei.

“Pihak sekolah/KTE/KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa/penjaga,” kata KPM.

KPM memutuskan pelajar di asrama yang dibenarkan pulang dengan empat kaedah iaitu menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah atau dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.

“Menggunakan pengangkutan udara atau air bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) atau kenderaan sendiri untuk pelajar Tingkatan Enam dan pelajar KV sahaja,” tambah KPM.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa atau penjaga yang ingin menjemput anak akan memerlukan surat pengesahan bagi tujuan pergerakan merentas negeri yang dikeluarkan sekolah.

“Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa/penjaga sahaja dalam setiap kenderaan,” jelas kementerian itu.

Bagaimanapun pelajar yang menjalani kuarantin tidak dibenarkan balik sehingga tamat tempoh, katanya.

Bagi yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga tidak dibenarkan balik sehingga tempoh penguatkuasaan tamat. – MalaysiaGazette