Militao dan rakannya meraikan gol pembukaan Real menentang Osasuna dalam aksi La Liga Sepanyol awal pagi tadi.

MADRID – Real Madrid terus memberi tekanan kepada Atletico Madrid dalam pemburuan gelaran juara La Liga Sepanyolmusim ini.

Dalam aksi di Santiago Bernabeu pagi tadi, skuad kendalian Zinedine Zidane menumpaskan pelawat Osasuna untuk terus merapatkan mata dengan Atletico.

Real selaku juara bertahan musim lalu tidak mahu menyerah kalah kepada Atletico dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan gelaran itu kali ini.

Dalam satu lagi aksi la Liga, Atletico menang tipis 1-0 ke atas Elche untuk terus melebarkan jurang mata dengan pesaing terdekat mereka bagi menjulang gelaran pertama mereka dalam liga kali ini.

Namun Real merapatkan kedudukan dengan perbezaan dua mata menerusi kemenangan pagi tadi bagi menekan pendahulu carta liga itu.

Gol pertama Real hadir pada minit ke-76 menerusi pemain bek pertahanannya Militao selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Gol kedua yang  dijaringkan the Galacticos menerusi bintang Brazil Casemiro selepas merembat kencang hantaran menarik Karim Benzema pada minit ke-80 sebelum tamat perlawanan.

Barcelona yang turut berada dalam perebutan gelaran musim ini kalah kepada Granada 1-2 pada Khamis lalu.

Bagaimanapun the Catalans berpeluang cerah menyamakan kedudukan matanya dalam carta dengan musuh tradisinya, Real sekiranya menang menentang Valencia pada Ahad ini.

Manakala Sevilla yang menduduki tempat keempat dalam carta liga boleh mengekalkan kedudukannya jika menewaskan Athletic Bilbao pada Isnin ini.

Selepas mula beraksi pada Januari lalu, inilah kali pertama Eden Hazard hampir membuka jaringan pertama kariernya bersama Real Madrid dalam perlawanan itu, bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol Osasuna Sergio Herrera.- MalaysiaGazette