Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang secara purata keseluruhannya telah mencapai 90 peratus setakat pagi ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak enam buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal/ ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

Hospital-hospital tersebut ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang yang mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100%.

Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

Dr Noor Hisham Abdullah

Menurut beliau, data-data itu adalah menurut statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

Menurut beliau, KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Susulan situasi semasa itu, pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini.

Sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Tegas beliau, tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini. – MalaysiaGazette