Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberi bayangan kemungkinan negeri itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dalam masa terdekat.

Katanya, pihak kerajaan negeri akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi memastikan penularan wabak Covid-19 dibendung.

“Kita juga menyeru semua pihak untuk mematuhi apa saja keputusan MKN nanti dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

“Kita menyeru semua pihak menerima keputusan dengan lebih tegas sekiranya PKP yang lebih ketat diperkenalkan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan pihaknya sudah memberikan data penilaian risiko negeri kepada MKN agar satu keputusan boleh dibuat dalam mesyuarat petang ini.

“Saya tidak boleh dedahkan maklumat sulit itu tetapi ia membabitkan kluster dan jumlah kes di negeri ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette