Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menjalani sebutan kes enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dan sambung bicara 1Malaysia Development Berhad di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sepatutnya bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Jalan Duta ditangguhkan sekali lagi kerana pandemik Covid-19.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dimaklumkan salah seorang daripada peguam yang mewakili Najib sedang menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19.

Prosiding rayuan SRC International yang melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta yang dijadualkan pada Khamis ini dilaporkan ditunda.

Prosiding akan bersambung pada 17 Mei ini.

Perbicaraan kes 1MDB pada hari ini sepatutnya diteruskan dengan saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hakem Abd Rahman menyambung keterangan.

Pada 11 Mac lalu, perbicaraan kes 1MDB ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pasukan pembelaan Najib menyelesaikan prosiding rayuan SRC International di Mahkamah Rayuan di Putrajaya di hadapan tiga panel hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Dalam masa sama, Najib disabitkan kesalahan penyewelengan dana SRC atas tujuh pertuduhan pecah amanah , penyelewengan dana serta salah guna kuasa berjumlah RM42 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas mendapati Najib bersalah atas semua pertuduhan namun beliau diberikan penangguhan sementara untuk proses rayuan. -MalaysiaGazette