KUALA LUMPUR – Semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia kecuali kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan, penerbangan Malaysia Airlines dari India yang ditularkan di media sosial hingga menimbulkan kegusaran orang ramai adalah penerbangan kargo.
”Penerbangan pesawat penumpang kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, MAS Kargo di bawah kendalian Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini.
Malah, katanya, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.
”Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.
”Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan.
”Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan, dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa 28 April 2021,” jelas Ka Siong.
Warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori selama 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan.
Ka Siong berkata, walaupun sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun beliau memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan. – MalaysiaGazette