Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada penggantinya, Datuk Seri Acryll Sani Abdullah di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menganggap jawatannya umpama beban yang diletakkan ke atas bahunya untuk menguruskan cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinannya dirinya bukan bersendirian untuk memikul tugas  mengemudi PDRM daripada bekas penyandangnya, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

“Tapi saya percaya saya bukan bersendirian dan tidak malu untuk menggalas tanggungjawab besar ini kerana dalam setiap kali saya terima tugas baru..perasaan mampu atau tidak tidak pernah dipedulikan.

“Saya yakin di atas kepercayaan barisan pengarah, ketua-ketua polis negeri dan OCPD setiap daerah untuk kita teruskan usaha yang terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam sidang media khas di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

Terdahulu beliau dipakaikan pangkat dan jawatan Ketua Polis Negara oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah itu serta disusuli Penyerahan Tongkat Kuasa KPN oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Jumaat lalu Acryl menerima watikah pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara ke-13 yang berkuatkuasa mulai esok daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di pejabat beliau di Putrajaya.

Acryl dalam perkembangan sama menjelaskan, pihaknya akan mengumumkan hala tuju baharu PDRM dalam masa terdekat.

Katanya ia penting dalam memastikan PDRM terus mengecapi kejayaan dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan di dalam negara secara berterusan.

Dalam pada itu, Hamid Bador menyatakan keyakinannya terhadap Acryl Sani yang mempunyai kemampuan, pengalaman selain kelayakan akademik yang tinggi untuk memacu PDRM mencapai kejayaan lebih tinggi.

Beliau juga menyatakan kehidupannya akan kembali tertumpu kepada aktiviti berkebun yang pernah diceburinya sebelum ini.

“Setiap orang perlu belajar berkebun dan bercucuk tanam kerana kepuasan yang akan kita perolehi dalam bercucuk tanam atau berkebun memang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette