Enam nelayan Indonesia ditahan APMM Pulau Pinang di Pulau Kendi di sini semalam.

GEORGE TOWN – Operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia pada kedudukan 33 batu nautika barat Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan berada dalam kawasan perairan negara oleh KM BURAU yang sedang melakukan rondaan Op Benteng/ Op Pertiwi pada jam 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut kita mendapati ia dikendalikan oleh seorang tekong bersama lima kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 42 tahun.

Enam nelayan Indonesia yang didapati menceroboh perairan negara ditahan APMM semalam.

“Semakan lanjut kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut manakala bot tersebut turut disita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 59/63 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki perairan Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan tekong dan kru boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam kali.- MalaysiaGazette