Khoon Leng (kanan) menunjukkan dokumen yang diserahkan kepada SPRM berhubung isu salah laku dan rasuah membabitkan bekalan ayam di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN –  Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pembekalan ayam di negeri itu.

Laporan tersebut dibuat menerusi portal SPRM pada jam 7.35 pagi tadi sebelum Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng bersama beberapa ahli parti tampil menyerahkan dokumen tambahan berhubung isu berkenaan di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah hari ini.

H’ng Khoon Leng.

Khoon Leng berkata, laporan dibuat kepada SPRM berdasarkan 10 asas yang menimbulkan kemungkinan MBPP dan kerajaan negeri telah melakukan salah laku dan terlibat dalam kes rasuah dalam isu bekalan ayam ini.

Jelas beliau, dokumen berhubung asas itu diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan terperinci dan telus.

“Kami tidak boleh dedahkan secara terperinci asas yang dikemukakan kepada SPRM, namun antara asasnya termasuk MBPP memilih sebuah syarikat swasta yang tidak ada pengalaman berkaitan dalam industri penternakan, penyembelihan dan pengedaran untuk mengurus dan menyelenggara pusat penyimpanan dan pengedaran ayam yang terletak di Batu Lanchang.

“Selain itu, wujud keraguan dalam prosedur mendapatkan tender secara request for proposal (RFP) bagi pembinaan pusat penyimpan ayam itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM di sini hari ini.

Khoon Leng (kiri) bersama dua ahli Parti Gerakan menyerahkan dokumen berhubung isu bekalan ayam di Pulau Pinang kepada SPRM.

Menurut Khoon Leng, SPRM diminta menyegerakan siasatan isu bekalan ayam itu bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas dengan salah laku dan rasuah ini kerana ada peniaga tidak berani tampil susulan bimbang dikenakan tindakan hingga mampu jejaskan pendapatan mereka.

“Sebelum ini kami menerima aduan daripada enam penjual ayam yang ditindas pihak berkuasa sehingga lesen mereka ditarik,” ujar beliau.

Pada 21 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan Parti Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dikatakan mengancam periuk nasi peniaga ayam susulan pembinaan sebuah pusat penyembelihan dan penyimpanan ayam bernilai RM11 juta di Batu Lanchang, Jelutong di sini.

Khoon Leng berkata, tindakan pembinaan pusat itu dilihat mengancam periuk nasi peniaga memandangkan pasarannya di monopoli oleh satu pihak. – MalaysiaGazette