Mohd Afdhal Nayan

KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melantik Mohd. Afdhal Mohd. Nayan sebagai Ketua Pegawai Transformasinya yang baharu.

Beliau akan terlibat dalam usaha untuk memacu misi ‘Mencipta Semula’ agensi serta mempercepatkan keupayaan untuk merealisasikan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Mohd. Afdhal, 33, memiliki Ijazah Sarjana (Pentadbiran Perniagaan) dari Asia School of Business, sebelum ini merupakan Ketua Pelaksanaan Transformasi di sebuah syarikat penerbangan tambah murah sejak 2018.

”Pelantikannya akan mengukuhkan kemampuan perniagaan dan operasi MDEC serta memastikan amalan terbaik dilaksanakan membabitkan kesemua program agensi secara dalaman dan luaran bagi memastikan MDEC dapat meningkatkan kepuasan pelanggan dan pihak berkepentingan.

”Beliau sudah pasti akan memainkan peranan penting dalam usaha kami untuk merealisasikan MyDIGITAL yang sangat penting kepada rakyat dan negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

Mohd. Afdhal akan memimpin dalam melaksanakan tinjauan keseluruhan bagi memangkin peningkatan kecekapan proses perniagaan semasa dan meningkatkan aliran pendapatan.

Beliau juga akan menerapkan amalan terbaik membabitkan strategi perolehan dan mencadangkan peraturan dan proses baharu sambil memastikan kepatuhan terhadap intergriti pengurusan risiko dan kerajaan.

Selain itu, beliau juga akan ditugaskan untuk meningkatkan dan memperbaiki operasi Koridor Raya Multimedia (MSC). – MalaysiaGazette