Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima pemakluman kekosongan luar jangka kerusi DUN N.23 Melor, Kelantan selepas penyandangnya Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April 2021.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan demi mengisi semula kerusi berkenaan dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun jelas beliau, PRK DUN Melor ditangguhkan berikutan penguatkuasaan Proklamasi Darurat.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada YB Datuk Haji Abdullah Bin Yakub, Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 3 Mei 2021, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi.

“Selaras dengan Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusof,53 meninggal dunia di kediamannya di Kota Bharu pada 30 April yang lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Romaini Mat Daud dan enam orang anak.

Md. Yusnan daripada Pas memenangi kerusi DUN Melor dengan 7,820 undian dan majoriti undi sebanyak 647 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Azmi Ishak yang mendapat 7,173 undi dan Pakatan Harapan, Abdul Aziz Abdul Kadir memperoleh 2,122 undi.-MalaysiaGazette