Vaksin AstraZeneca. foto Reuters

GORENG pisang panas pun belum tentu habis dalam masa empat jam. Ramai yang
terlepas dan rasa kecewa.

Begitu juga berita mengejutkan apabila pendaftaran untuk rakyat Malaysia yang
ingin mendapatkan vaksin Covid-19 AstraZeneca dibuka pada tengah hari Ahad 2
Mei 2021 telah penuh selepas tak sampai empat jam tempahan dibuka.

Pendaftaran untuk 268,000 tempat atau penerima itu diumumkan Menteri Sains
Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin beberapa hari sebelumnya.

Ia dibuka kepada penduduk Lembah Klang berusia 18 tahun ke atas yang telah pun
mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penerimaan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca itu dilakukan atas dasar konsep siapa
cepat dia dapat. Manakala temu janji vaksinasi pertama akan dibuat pada Rabu 5
Mei.

Ternyata idea membuka kepada orang awam yang berminat untuk terima vaksin
Covid-19 ini suatu pendekatan yang mendapat minat ramai orang.

Apatah lagi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sendiri telah memberi jaminan
bahawa vaksin jenis ini diakui selamat dan berkesan melalui suatu kenyataannya
pada 26 April 2021.

Bukan itu sahaja, Dr Adham turut bertindak mengumumkan bahawa Kementerian
Kesihatan Malaysia akan menggunakan vaksin AstraZeneca untuk imunisasi
golongan berusia 60 tahun ke atas yang dinilai sebagai paling sesuai menerimanya.

“Vaksin AstraZeneca selamat untuk digunakan serta berkesan. Ia akan digunakan
untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas sebagai paling sesuai,” kata Dr Adham
ketika memberitahu yang vaksin jenis ini selamat digunakan.

Saya percaya, sedikit sebanyak rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi dan
kepercayaan penuh terhadap kenyataan Dr Adham dan Khairy dalam usaha kita
membentuk imuniti kelompok di negara ini.

Buktinya tidak sampai setengah petang, jumlah penduduk Lembah Klang yang ingin
disuntik vaksin Covid-19 jenis AtraZeneca telah penuh dan menimbulkan rasa
kecewa ribuan yang lain yang tak sempat mendaftar.

Kita boleh simpulkan bahawa, walaupun dalam situasi ramai pihak menyebarkan
anasir kebencian dan teori demi teori untuk mengagalkan PICK, namun pada
hakikatnya lebih ramai yang berada di luar sana masih percayakan dua orang
menteri yang bekerja menggerakkan PICK ini.

Kepada mereka yang masih ragu, ketika dicucuk vaksin itu cuba baca “Bismillah
Lima” dan berdoa “Saya berlindung daripada semua kalimah Allah, daripada segala
keburukan semua mahkluk…”.

Sebenarnya tidak ada asas untuk ragu-ragu kerana menurut pakar, peratus mereka
yang alami risiko pembekuan darah ini hanya empat orang berbanding satu juta
yang dicucuk.

Justeru, hakikat yang baik perlu diakui baik. Jangan kita memperbodohkan atau
menipu diri sendiri dengan terpengaruh kepada anasir-anasir yang jahat lagi negatif
di sekeliling kita.

Mereka mungkin ada agenda tersembunyi untuk melihat kita semua gagal dalam
membentuk imuniti kelompok di Malaysia menjelang awal tahun 2022 nanti.

NURUL ATIQAH
MOSTI, Putrajaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast