Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dua netizen yang meyebarkan berita berbaur fitnah dalam laman media sosial berkaitan pesawat Malaysia Airlines yang didakwa membawa masuk penumpang dari India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan tersebut membabitkan kenyataan pemilik laman Facebook bernama Muhammad Fahmi
Abdullah yang dikesan polis pada 3 Mei lalu.

“Dia mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India yang dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, PDRM turut menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Kedua-dua hantaran tersebut dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April 2021 yang melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar masuk dari negara India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 daripada negara berkenaan bagi mengelak penularannya di Malaysia.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik akaun Facebook tersebut merupakan berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Setakat ini, ujar beliau, PDRM telah membuka sebanyak 12 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 sejak ia dikuatkuasakan pada 12 Mac 2021.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas,(USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetus suasana tidak harmoni serta mengganggu-gugat ketenteraman awam,” ujar beliau.

Huzir berkata, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang diwartakan pada 11 Mac 2021 adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau proklamasi darurat 2021.

Katanya, ia sekaligus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial.

“Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, atau kepada mana-mana golongan awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.

“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette