Gunung Everest

KATHMANDU – Pendaki gunung dan pihak berkuasa di kem pangkalan Everest di Nepal memaklumkan terdapat peningkatan jumlah pendaki dengan gejala Covid-19 dan pertambahan jumlah ujian positif, sekali gus meningkatkan kebimbangan penularan wabak serius.

Kakitangan-kakitangan kem menerima laporan mengenai 17 kes yang disahkan dari hospital di ibu kota Kathmandu, yang mana sejumlah pendaki telah dihantar dari kem pangkalan dan kem yang lebih tinggi untuk menerima rawatan.

Dan kakitangan di sebuah hospital swasta di Kathmandu, klinik CIWEC, mengesahkan ada pesakit positif koronavirus setelah tiba dari kem pangkalan Everest.

Setakat ini Kerajaan Nepal menafikan wujudnya kes positif di kem Everest dan penafian itu menimbulkan kebimbangan terhadap usaha untuk tidak menghebohkan situasi sebenar kerana akan mendorong kepada tekanan penutupan ekspedisi gunung.

Pendaki asing adalah sumber pendapatan utama bagi Kerajaan Nepal.

Gunung Everest ditutup tahun lalu semasa penularan wabak Covid-19.

Pihak berkuasa memberi arahan kepada pendaki untuk kuarantin di Nepal sebelum meneruskan perjalanan ke kem, tetapi ada kebimbangan dalam komuniti pendaki bahawa wabak serius di gunung sangat dahsyat.

Jumlah kes koronavirus telah meningkat dengan ketara di Nepal dalam beberapa minggu ini dan negara tersebut mempunyai kadar jangkitan tertinggi di antara negara-negara yang berjiran dengan India, yang sedang berdepan dengan gelombang kedua hingga mencetuskan krisis yang meluas.

Dalam pada itu, Setiausaha Bahagian di Kementerian Penerbangan Awam, Pelancongan dan Budaya Nepal, Prem Subedi berkata, pihaknya tidak tahu wujud kes koronavirus di kem.

“Tiada kes Covid-19 di Kem Everest yang dilaporkan kepada kementerian setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette