Gambar hiaan

JOHOR BAHRU – Sebuah surau di Jalan Impian Emas 17 di sini dikesan menjadi kluster baharu di negeri ini membabitkan jemaah yang kerap menghadiri aktiviti berbuka puasa dan solat tarawih.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan menerusi kenyataan medianya hari ini memberitahu, kes pertama untuk kluster komuniti ini dikesan melalui saringan bergejala pada 21 April lalu dan susulan itu saringan kontrak rapat telah dijalankan.

”Saringan membabitkan ahli keluarga, rakan sekerja dan jemaah surau sehingga 2 Mei lalu dan kita dapati seramai 252 orang telah disaring.

“Seramai 52 daripada mereka didapati positif dengan tiga kes kematian dilaporkan setakat ini,” katanya.

Vidyananthan berkata, tindakan penutupan surau tersebut telah dijalankan bermula 24 April sehingga 2 Mei lalu.

Katanya, kluster berkenaan masih dalam pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri dan dijangka tamat pada 29 Mei sekiranya tiada kes baharu dilaporkan selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan turut mengulas peratus kapasiti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di negeri ini yang sudah mencecah 114% setakat ini.

Berdasarkan statistik 3 Mei, seramai 49 pesakit dirawat di ICU, enam di hospital pakar.

Semalam, Johor merekodkan 336 kes harian dan dua kes kematian dengan 275 kes tempatan, 59 kes tahanan (penjara) dan dua kes import, yang mana daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 194 kes.-MalaysiaGazette