Orang ramai beratur untuk memasuki bazar bagi membuat persiapan Aidilfitri selepas kerajaan membenarkan bazar Aidilfitri beroperasi sehingga jam 2 pagi berkuatkuasa hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 APRIL 2021.

MINGGU lalu, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengesyorkan pengehadan interaksi sosial kepada had maksima iaitu dua kali sehari. Ini adalah salah satu langkah yang diambil berikutan peningkatan jumlah kes di negara tersebut yang dijangka akan terus meningkat disebabkan oleh perayaan-perayaan keagamaan pada bulan Mei seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Wesak.

Umum mengetahui bahawa bagi memutuskan rantaian COVID-19, salah satu cara yang
berkesan adalah dengan tidak menghadiri apa-apa aktiviti sosial, terutama sekali aktiviti
yang melibatkan perkumpulan orang ramai. Namun begitu, untuk menghalang kesemua
aktiviti ini daripada dijalankan adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan pada masa sekarang.

Kerajaan Singapura sendiri telah menutup tempat-tempat perkelahan dan aktiviti rekreasi
bagi membendung penularan COVID-19. Tempat-tempat yang sebelum ini telah diberi
kelonggaran oleh kerajaan untuk beroperasi seperti biasa juga telah diarahkan untuk
mengurangkan semula operasi kapasiti. Berbeza dengan di Malaysia, dengan hampir semua sektor telah dibuka, mengehadkan interaksi sosial adalah sesuatu perkara yang bercanggah dengan tujuan asal pembukaan sektor-sektor ini termasuklah sektor pelancongan.

Dalam usaha mengekang gelombang keempat, haruskah kita perketatkan SOP dan
kurangkan aktiviti sosial, walaupun Hari Raya Aidilfitri semakin dekat? Semalam, telah diumumkan SOP Aidilfilti dan juga PKP kepada 6 daerah di Selangor sehingga 17 Mei 2021. SOP ini merangkumi aktiviti sosial termasuk SOP kunjung mengunjung yang terhad kepada 15 orang di kawasan PKP, larangan takbir dari rumah ke rumah, larangan rumah terbuka Aidilfitri dan juga ziarah kubur yang tidak dibenarkan. Namun, tiada perubahan besar terhadap aktiviti ekonomi termasuk di kawasan-kawasan PKP.

Pematuhan SOP secara ketat adalah amat perlu dan penting bagi membendung penularan
COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Tatkala kes-kes harian yang meningkat naik saban hari, orang awam mula menunjukkan pelbagai reaksi. Memperketatkan SOP menjelang musim perayaan pada dasarnya dikira sebagai satu langkah yang baik, namun, adakah ia langkah yang terbaik ketika ini? Kita dapat lihat sendiri rata-rata orang awam telah memberikan maklum balas negatif dengan komen-komen mereka di media sosial.
Kami yakin, ini sebenarnya adalah petanda ‘kelesuan pandemik’ yang seterusnya
mendorong kepada emosi serta perasaan negatif terhadap pembuat dasar dan pihak-pihak yang menjalankan dasar seperti pihak berkuasa.

Kelesuan pandemik ini berlaku berikutan fasa-fasa PKP yang telah dijalankan oleh kerajaan sejak Mac lepas. Jika dibandingkan dengan peringkat awal penularan COVID-19 tahun lalu, rata-rata rakyat sangat bersemangat untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan, namun kini, dengan adanya gelombang kedua dan ketiga, rakyat mula menjadi letih dan berfikir bila pandemik ini akan berakhir. Rakyat mula bersikap acuh tidak acuh dan mengambil ringan SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Kelesuan pandemik ini boleh dikurangkan dengan mengurangkan halangan-halangan
terhadap kehidupan harian anggota masyarakat dan meningkatkan lagi komunikasi risiko
kepada masyarakat. Pada hemat saya, SOP sedia ada sudah cukup bagus dan perlu diikuti. Apa yang mengelirukan masyarakat sekarang adalah tindakan sesetengah pihak yang mungkin diberikan pengecualian atau keringanan terhadap SOP seperti kebenaran rentas negeri ataupun menjalankan aktiviti keramaian. Perkara yang paling penting di sini adalah keperluan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti di samping mengenakan SOP serta polisi yang tegas dan tidak berubah-ubah.

Polisi yang berubah-ubah serta pengecualian dalam SOP serta undang-undang untuk sesetengah pihak inilah yang telah menyebabkan kekeliruan dan bantahan dari masyarakat. Jadi, langkah memperketatkan SOP termasuk memperkenalkan ‘total lockdown’ di seluruh negara pada musim perayaan hanyalah akan mengeruhkan keadaan. Namun, PKP secara bersasar dan berdasarkan penilaian risiko seperti pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato Seri Ismail Sabri amat dialu-alukan. Perkara yang lebih penting ketika ini ialah semua pihak harus patuh kepada SOP sedia ada.
Apa yang boleh kita buat untuk kurangkan jangkitan secara segera?

Jumlah kes adalah salah satu angka dalam penilaian risiko bagi menentukan kejayaan kita
membendung penularan pandemik ini. Di sebalik jumlah kes yang dilaporkan saban hari,
terdapat empat faktor utama yang menentukan kejayaan kita mengurangkan jumlah kes harian. Faktor yang pertama ialah faktor epidemiologi atau taburan penyakit. Ini termasuk bilangan kes baharu, kebolehjangkitan dalam komuniti dan juga impak jangkitan terhadap komuniti tersebut. Faktor yang kedua ialah faktor perwatakan masyarakat setempat. Ini termasuk saiz komuniti, kepadatan penduduk setempat, jenis aktiviti yang dilakukan dan juga kelakuan masyarakat dalam mematuhi SOP sedia ada.

Dalam kalangan masyarakat bersaiz besar serta kepadatan penduduk yang tinggi, penularan wabak akan berlaku dengan cepat. Yang ketiga ialah faktor keupayaan pusat rawatan seperti hospital, jumlah katil ICU, fasiliti rawatan berisiko rendah dan juga pusat-pusat rawatan seperti klinik kesihatan yang mampu untuk merawat kes-kes COVID-19. Faktor yang keempat dan terakhir ialah keupayaan sistem kesihatan awam. Kerja-kerja lapangan seperti melakukan saringan, menjejak kontak, mengeluarkan arahan kuarantin atau pengasingan pesakit merupakan antara fungsi-fungsi sistem kesihatan awam selain membuat penilaian dan komunikasi risiko di lapangan dan dalam masyarakat.

Jadi, dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19, keempat-keempat faktor ini harus
diberikan penekanan sewajarnya. Dari aspek kelakuan dan perwatakan masyarakat, suka
saya tegaskan sekali lagi untuk mengelakkan dari mengadakan atau menghadiri aktiviti
secara berkumpulan. Pemakaian pelitup muka sepanjang masa dan pengamalan penjarakan sosial adalah perlu. Amalkan kebersihan tangan dan jangan ambil ringan jangkitan COVID-19. Secara dasarnya, walaupun kita telah lebih setahun berhadapan dengan wabak ini, pematuhan SOP dalam kalangan individu masih belum mencapai tahap 100%.

Semasa melakukan sembahyang Jumaat dan terawih secara berjemah di masjid misalnya, masih ada individu yang tidak mengenakan pelitup muka dengan betul, iaitu dengan meletakkan di bawah dagu. Masih ramai juga yang mengabaikan penjarakan sosial di tempat-tempat awam terutamanya sekali di bazaar Ramadhan dan bazaar Aidilfitri. Sikap acuh tidak acuh dan sambil lewa ini sangat membimbangkan dan boleh mengakibatkan jangkitan yang serius terutamanya dalam kalangan warga emas dan golongan rentan.

Paling penting, daftar segera untuk mendapatkan vaksin. Kajian menunjukkan bahawa tahap keberkesanan vaksin ialah di antara 60% sehingga lebih 95% dalam kalangan yang telah melengkapkan dos vaksin. Vaksin juga terbukti berkesan mengurangkan komplikasi dalam kalangan mereka yang mendapat jangkitan selepas menerima vaksin. Kami yakin, seiring dengan peningkatan pemberian vaksin dalam program imunisasi kebangsaan, jumlah kes akan turut menurun. Ini telah dibuktikan oleh negara-negara seperti Israel yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi yang telah melengkapkan dos vaksin mereka.

Kesimpulannya, memperketatkan SOP menjelang musim perayaan bukanlah jawapan terbaik ketika ini. Di kala rakyat mulai letih dengan pandemik ini, mengenakan lebih banyak halangan hanya akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, pematuhan kepada SOP sedia ada yang patut menjadi keutamaan. Mungkin yang diperlukan kini adalah penerapan kesedaran yang lebih jitu dalam kalangan masyarakat tentang bahayanya jangkitan COVID-19. Kita masih belum menang dalam perjuangan memerangi COVID-19.

Kita harus sentiasa berwaspada dan tidak memandang ringan tentang wabak ini. Jika dulu kita semua sangat bersemangat untuk sama-sama “kita jaga kita”, kini kita sepatutnya lebih matang dan bertanggungjawab menjaga diri, lebih-lebih lagi dengan hadirnya varian virus yang lebih senang merebak. Dan harus diingat, perjuangan ini adalah perjuangan bersama, kerajaan dan rakyat. Pihak berkuasa diharapkan untuk menguatkuasakan SOP dan undang-undang dengan penuh integriti dan tidak memilih kasih. Kerana akhirnya, wabak ini tidak mengenal sesiapa, semua orang termasuk rakyat dan pemimpin berisiko untuk dijangkiti.

Penulis: Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr. Wan Nur Ira Izyan Wan Izani
Graduan Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia