Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Jaringan Prihatin menawarkan dua manfaat kepada penerima B40 yang layak untuk mendapatkan pakej peranti atau pelan data bulanan.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, isi rumah yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun boleh mendapat RM300 di bawah bantuan untuk pakej peranti dan RM180 untuk pelan data bulanan untuk 12 bulan.

Bagi B40 yang tiada anak bawah umur 19 tahun, mereka ditawarkan RM180 untuk pakej peranti dan RM180 bagi data bulanan.

Menurut MoF, Program Jaringan Prihatin adalah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data Internet atau pembelian peranti mudah alih.

Program bernilai RM3.5 bilion ini
merupakan pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021, yang bertujuan membina bakat dan kemahiran digital seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian
Komunikasi dan Multimedia serta dua belas (12) syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX
Mobile, YES dan Yoodo.

Program ini telah diumumkan di dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5 bilion.

Mengambil kira jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang bersekolah, RM500 juta telah ditambah di bawah pakej bantuan Pemerkasa yang diumumkan Mac lalu, menjadikan nilainya RM2.0 bilion.

Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga menawarkan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion, menjadikan faedah keseluruhan berjumlah RM3.5 bilion kepada penerima-penerima BPR.

Program ini merupakan sebahagian dari lima fokus utama kerajaan dalam memulih dan melonjakkan ekonomi Malaysia pasca-Covid-19 iaitu memperkukuhkan dayasaing negara melalui pengurangan jurang digital.

Katanya, Jaringan Prihatin menerapkan konsep keterangkuman dan pada masa yang sama merupakan langkah untuk memperkasakan rakyat Malaysia ke arah ekonomi digital bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.

Pendaftaran untuk Jaringan Prihatin akan dibuka daripada 5 Mei 2021 hingga 31 Julai 2021.

Penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini. – MalaysiaGazette