Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tengah) beramah mesra bersama pelajar-pelajar tahfiz pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar-Pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak memakai pelitup muka merupakan antara sebab kerajaan tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis dan aktiviti ‘dine-in’ di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, meskipun penggunaan pelitup muka itu tidak diketahui sejauh mana selamatnya kepada pemakai tetapi seseorang itu masih boleh dilindungi dengan cara memakainya.

“Kalau kita pergi supermarket atau mana-mana pun kita masih boleh pakai mask (pelitup muka).

“Tetapi kalau makan dan ada sesetengah tu tidak ada penjarakan sosial serta tidak ikut SOP, dan lebih berbahaya jika tidak ada mask,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar-pelajar Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menurut Ismail Sabri lagi, meskipun ada yang meminta supaya restoran tidak ditutup serta membenarkan dine in namun, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ia sukar untuk dibenarkan.

Justeru katanya, adalah lebih baik jika dine in tidak dibenarkan dan sekiranya terdapat penurunan kes positif baharu, langkah untuk membenarkan kembali boleh dipertimbangkan. – MalaysiaGazette