Neelofa. Foto MOHD ADZLAN, 05 APRIL 2021.

SEREMBAN – Kertas siasatan terhadap selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini di peringkat akhir siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata ia telah dirujuk kepada pendakwa raya namun dikembalikan semula kepada polis berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diperkemaskan

“Terdapat beberapa tindakan perlu diambil dan kita menjangkakan dalam masa terdekat ini akan dimaklumkan mengenai keputusannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat secara medan kepada Sarjan Mat Shah Kasim di sini, hari ini.

Spekulasi berkaitan pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai, pada 2 Mei dan keterangan mereka telah diambil selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai, Selasa lepas.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Mohammad memakaikan pangkat secara Medan ke jawatan Sarjan Mejar kepada Mat Shah, 57, atas keberaniannya menggadai nyawa menyelamatkan dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau 4 Mac lepas.

Mat Shah yang sebelum ini berpangkat sarjan turut bertugas sebagai Penolong Ketua Polis Balai, Balai Polis Kota, Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau melahirkan rasa syukur atas kenaikan pangkat itu dan berharap ia memberi semangat kepada anggota lain untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Mengimbas kembali tragedi itu, Mat Shah berkata semasa kejadian, beliau baru sahaja selesai melakukan penugasan kira-kira 6.30 petang dan dalam perjalanan pulang apabila ternampak api marak membakar bahagian depan sebuah rumah papan.

Katanya, beliau nekad untuk meredah api tersebut selepas melihat seorang wanita warga emas meluru ke dalam rumah bagi menyelamatkan anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya dan beliau berjaya membawa keluar mangsa yang terperangkap di bahagian dapur.- BERNAMA