Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menganggap aksi pertama pusingan kedua Liga Super 2021 sebagai permulaan yang positif untuk mereka terutamanya kehadiran pemain import baharu yang mula beri impak kepada pasukan dalam perlawanan menentang Selangor FC, semalam.

Keputusan seri 2-2 di Stadium Darul Makmur sedikit sebanyak beri kelegaan kepada beliau kerana sedar berdepan Selangor bukan mudah dan mereka tidak mahu lagi terus kehilangan mata sekiranya terus tersungkur.

Namun, kebangkitan anak buahnya pada minit-minit terakhir wajar diberi pujian selain aksi memberangsangkan pemain import baharu dari Argentina iaitu Manuel Hidalgo yang berjaya menghasilkan gol pembukaan kepada pasukan meskipun baru sahaja bersama pasukan beberapa hari lalu selepas selesai menjalani tempoh kuarantin.

Aksi dua lagi pemain, Abubakar Yakubu dan Kenny Athiu juga tidak mengecewakan bagi membantu pasukan untuk sekurang-kurangnya memastikan Pahang tidak lagi berdepan kekalahan.

“Saya boleh katakan aksi mereka hari ini (semalam) memang agak berbeza kalau nak dibandingkan dengan aksi pada pusingan pertama yang agak kucar-kacir.

“Ketiga-tiga pemain import ini kita dah boleh nampak sedikit sebanyak kelebihan mereka cuma kita faham mereka baru sahaja baru habis tempoh kuarantin, macam Kenny baru sahaja sampai Kuantan pada hari perlawanan, tetapi kita nak juga dia beraksi.

“Mungkin agak bergelut sedikit dengan kecergasan, tetapi saya tetap bersyukur kami akhirnya dapat menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir.

“Hidalgo pula saya tidak sangka dia boleh menghabiskan 90 minit permainan sebab pada minit 70, dia dah bagi isyarat seperti rasa kekejangan tetapi dia cakap dekat saya yang dia nak juga teruskan sampai habis”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Dalam satu lagi aksi di Stadium Likas, Sabah FC meraih tiga mata selepas menundukkan Melaka United FC dengan keputusan 3-1 meletakkan Melaka ketika ini di tangga kedua tercorot.

Keputusan lain dalam perlawanan semalam menyaksikan Perak FC akhirnya meraih tiga mata menewaskan PJ City FC 0-1 selepas kemarau kemenangan dalam empat aksi terdahulu. – MalaysiaGazette