Kementerian DAlam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diwartakan.- gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diwartakan.

KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, jabatan dan agensi itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Katanya, arahan itu juga dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutamanya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidil Fitri pada minggu hadapan.

“Selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lapangan, pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Justeru, kementerian menyeru agar semua pihak untuk terus mematuhi SOP-SOP yang telah diputuskan oleh kerajaan dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19.

“Semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai Jabatan dan Agensi KDN telah terlibat dalam penugasan Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette