Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob MCO burger seller stall RM50,000 compound Wan Mohd Faisal Wan Kadir KD Mahawangsa Covid-19 positive crewmen crew navy ship
Ismail Sabri Yaakob.

JERANTUT, 8 Mei  — Kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP bersasar juga boleh dilakukan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE) yang boleh menunjukkan kawasan tertentu dengan penularan kes yang besar (titik panas) COVID-19 untuk dikenakan PKP.

“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan yang banyak dengan skala paling kecil ialah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

“Bagaimanapun, macam-macam kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika tiada intervensi daripada kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas raya dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan laluan jambatan “Compact Bailey 100’ Kampung Sungai Putat di sini hari ini, yang dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau ditanya jika kerajaan berhasrat melaksanakan PKP secara menyeluruh memandangkan peningkatan kes baharu yang tinggi sejak kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam, selain kebimbangan masyarakat jika PKP menyeluruh dikenakan pada saat-saat akhir sebelum Aidilfitri minggu depan.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini, juga membincangkan kemungkinan PKP pada hari raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi memberi rakyat membuat persediaan sebaiknya.

Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang telah membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan