Mercun yang dirampas daripada lelaki warga emas ketika pematuhan Op Covid-19 di jalan Kenanga di ibu negara semalam. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 50 tahun kerana terlibat dengan aktiviti penjualan mercun sempena musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 99 kotak mercun pelbagai jenis dengan anggaran nilai sebanyak RM10,000.

Katanya, lelaki warga emas itu ditahan ketika pasukan dari balai Tun H.S Lee menjalankan tugas pematuhan Op Covid-19 dengan memeriksa kenderaan jenis Proton Exora dipandu suspek di tepi jalan Kenanga di ibu negara semalam.

“Suspek ditahan di lokap IPD Dang Wangi dan permohonan reman akan dikemukakan hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta BAhan Letupan 1957 dan hasil siasatan awal mendapati mercun tersebut dipercayai dijual kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti penjualan mercun sepanjang tempoh perayaan ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotlin Polis KL ditalian 013-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette