KUALA LUMPUR – Persiapan skuad kebangsaan Thailand bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun ini terjejas apabila dua pemain serta empat staf disahkan positif Covid-19 dalam ujian saringan yang dijalankan ke atas seluruh pasukan.
Senario itu menyebabkan sesi latihan terpaksa dihentikan sementara dan semua pemain dikuarantin sehingga memperolehi keputusan negatif dalam ujian saringan yang seterusnya.
Ketiadaan sesi latihan selama beberapa hari juga berpotensi memberi impak kepada tahap kecergasan dan prestasi pemain Thailand kerana peluang mereka untuk mengisi slot automatik Piala Asia 2023 semakin tipis.
Malah, Liga Thailand musim 2020/2021 sudah pun menutup tirainya sejak bulan lepas dan para pemain pasukan itu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif selama beberapa minggu.
Skuad kendalian Akira Nishino kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan G di belakang Vietnam dan Malaysia.
Mereka memerlukan sekurang-kurangnya tujuh mata untuk berada dalam carta tempat kedua terbaik.
Bagaimanapun, sasaran itu semakin sukar untuk dicapai selepas kem latihan mereka terganggu oleh penularan wabak Covid-19.
Thailand kini telah merekodkan hampir 2,000 kes Covid-19 setiap hari, sekali gus berisiko menyebabkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dijangkiti wabak itu sebelum berangkat ke UAE. – MalaysiaGazette