Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Polis mengesahkan mayat dengan kesan terbakar keseluruhan badan yang ditemukan di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh di sini 17 April lepas, adalah seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, identiti wanita berusia 50-an itu dikenal pasti berdasarkan hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan sebelum ini.

“Mayat mangsa kita telah serahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian dan difahamkan akan dituntut oleh keluarga di hospital pada esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, tular hari ini seorang pengguna laman sosial Facebook membuat hantaran menyatakan identiti mayat tersebut telah disahkan milik ahli keluarganya yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Pada pagi 17 April lepas, satu mayat tanpa identiti dengan kesan terbakar keseluruhan badan ditemukan di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh oleh pekerja kebersihan.

Mangsa dikatakan telah dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi penemuan dan dibakar.