Chow Kon Yeow (dua dari kanan) bersama Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin (dua dari kanan) pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menegaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di beberapa daerah dan mukim negeri itu adalah untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan Pulau Pinang terus mencatatkan peningkatan jangkitan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Jangkitan kes Covid-19 secara konsisten mencatatkan tiga angka di negeri itu sejak awal tahun ini dan rekod tertinggi dicatatkan semalam iaitu sebanyak 363 kes.

“Kita harap dengan pelaksanaan PKP 3.0 ini mampu menurunkan kes positif Covid-19 kepada dua angka.

“Sasaran itu juga harap dapat dicapai bagi memastikan sistem perubatan awam dan swasta di negeri ini tidak lumpuh ekoran kenaikan kes yang mendadak,” katanya pada sidang media khas berkaitan SOP PKP 3.0 di pejabatnya di Komtar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, laporan analisis risiko jangkitan Covid-19 akan diberikan setiap hari kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat penilaian berhubung situasi semasa wabak tersebut di negeri ini.

“Kita percaya dengan adanya laporan harian itu MKN boleh mencadangkan sebarang keputusan sama ada SOP perlu diperketatkan atau sebaliknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast