GEORGE TOWN – Pengunjung pusat hiburan bagaikan tidak peduli peningkatan penularan jangkitan Covid-19 khususnya di daerah Timur Laut.

Ia terbukti apabila serbuan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dengan kerjasama Balai Polis Central pada jam 1 pagi itu mendapati orang ramai ibarat melepaskan gian dengan mengunjungi sebuah pusat hiburan yang terletak di Jalan George Town, di sini.

Walaupun Daerah Timur Laut berstatus zon merah, orang awam dilihat tetap mengunjungi pusat hiburan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika serbuan dibuat seramai 46 pengunjung dilihat sedang leka berhibur dalam premis berkenaan.

Jelas beliau, ada juga cubaan seorang lelaki melarikan diri dengan memanjat tembok premis sebaik melihat kehadiran pihak polis namun berjaya digagalkan.

“Kira-kira 30 lelaki dan 16 wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 57 tahun dikatakan berhibur di premis berkenaan selain keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.

Pegawai dan anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan George Town di sini hari ini.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan Daerah Timur Laut bakal melaksanakan PKP esok menyebabkan mereka menyerbu pusat hiburan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, kesemua mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini.

“Bagi pemilik pula, kita keluarkan kompaun RM50,000 atas kesalahan yang sama.

“Anggaran kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik premis dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu adalah sebanyak RM280,000,” ujar Soffian.

Pihak polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM5,000 bagi setiap pengunjung di pusat hiburan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Soffian berkata, pihaknya tidak akan berkromponi dengan pusat hiburan yang jelas ingkar perintah SOP PKP yang akan bermula esok ini di daerah Timur Laut bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sentiasa di tahap yang tinggi. – MalaysiaGazette