Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas akibat tergelincir ke dalam sebuah longkang di Flat Cempaka Avenue, Seremban 2, Sabtu lepas, ditemukan terapung di kolam tadahan air dekat sini, pagi tadi.

SEREMBAN – Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas akibat tergelincir ke dalam sebuah longkang di Flat Cempaka Avenue, Seremban 2, Sabtu lepas, ditemukan terapung di kolam tadahan air dekat sini, pagi tadi.

Ketua Zon Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sembilan Khair Amir Ahmad berkata mayat Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, ditemukan pada jarak kira-kira 1.2 kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan terjatuh pada pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut beliau, mayat Mohammad Syafiq tanpa pakaian itu ditemukan oleh anggota bomba di kawasan kolam Tadahan Air Taman Arowana Indah yang merupakan lokasi pencarian mangsa sejak Sabtu lepas.

“Semalam, kita buka kunci air di kolam itu supaya air kolam kering untuk memudahkan pencarian kami, dan pagi ini, Alhamdulillah, ketika pencarian kita jumpa mayat itu lebih kurang 30 meter daripada kunci air.

“Terdapat sedikit luka pada muka mangsa mungkin akibat arus deras dan hentakan daripada konkrit ketika hanyut,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat dan operasi pencarian ditamatkan pada kira-kira 8 pagi tadi, katanya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini melibatkan lebih 60 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta dua anjing pengesan (K9) JPBM.

Pada 8 Mei (Sabtu), mangsa bersama-sama abangnya berusia sembilan tahun dan rakan berusia 12 tahun dikatakan sedang bermain sebelum tergelincir ke dalam longkang di flat berkenaan sebelum dihanyutkan air deras ketika hujan lebat, pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, ibu mangsa Nurain Ismail, 27, yang ditemui pemberita berkata beliau dimaklumkan penemuan mayat anaknya kira-kira 7.40 pagi dan reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya.

“Alhamdulillah, jasad anak saya kembali pada saya, kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bersusah payah dalam usaha mencari anak saya,” katanya.- BERNAMA