Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang termasuk semua pemimpin parti politik disaran supaya mengadakan pertemuan tergempar bagi mengambil inisiatif untuk memberi tekanan terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS) agar menghentikan pencerobohan ke atas Masjid Al Aqsa.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, demi kestabilan dunia dan keadilan untuk Palestin, semua ahli Parlimen Malaysia mesti bersatu untuk menyatakan pendirian menentang keganasan zionis Israel.

“Keputusan juga perlu dirumuskan untuk menghantar bantuan kepada mangsa keganasan Israel serta kepada Masjid Al Aqsa yang dirosakkan oleh serangan zionis.

“Situasi yang semakin tegang kini berkemungkinan akan mencetus pertumpahan darah dan Israel bertindak mengambil kesempatan melakukan tindakan ekstrim untuk mencetus pertempuran untuk merampas Masjid Al Aqsa As Syarif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menggesa suatu pendirian bersama rentas parti politik mengeluarkan kenyataan dan menuntut UN dan OIC bertindak terhadap isu keganasan Zionis Israel terhadap situasi tegang di Masjid Al Aqsa dan Baitulmaqdis. – MalaysiaGazette