Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap kepada media mengenai Akta 446 di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravan. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia menafikan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446]  dibatalkan.

Menurut menterinya, Datuk Seri M. Saravanan, penjelasan dibuat berikutan satu laporan tidak benar kepada media yang akta itu sudah tidak digunakan lagi.

“Kementerian Sumber Manusia sentiasa melaksanakan penguatkuasaan dan laporan beberapa media bahawa kementerian telah membatalkan penguatkuasaan terhadap majikan dari segi penguatkuasaan Akta 446, itu tidak benar.

“Kementerian sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP Covid-19 yang merangkumi sektor-sektor yang telah diberikan kuasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media hari ini.

Akta 446 telah diwartakan pada 25 Februari lalu sebagai sebahagian daripada Ordinan Darurat dan penguatkuasaan akta yang sama turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak susulan tercetusnya Kluster Teratai awal tahun ini.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan, kementerian akan terus merancakkan operasi penguatkuasaan tanpa henti sehingga sekarang.

Sehingga 8 Mei lalu, penguatkuasaan dan pemeriksaan telah merekodkan sebanyak 17,882 majikan telah diperiksa dan majikan ini menggajikan seramai 1,673,060 pekerja.

Malah sejumlah 103,829 penginapan telah disediakan bagi menempatkan seramai 670,455 pekerja.

Daripada 17,882 majikan yang diperiksa, sebanyak 6,069 (33.94%) majikan didapati patuh kepada Akta 446. Manakala, baki 11,813 (66.06%) majikan didapati tidak mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta 446, katanya.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, daripada 11,813 majikan yang bertindak melanggar arahan itu, 706 kertas siasatan telah dibuka dengan 121 kes akan didakwa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 39 kes telah selesai didakwan dengan melibatkan denda sebanyak RM301,000.

Sebanyak 216 kes telah dikompaun dengan jumlah sebanyak RM1.355 juta dan sebanyak 46 arahan pindah telah dikeluarkan melibatkan 46 majikan dan 1,962 pekerja.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengulas mengenai aplikasi Working For Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei lalu.

Jelasnya, sehingga hari ini, sejumlah 59 aduan diterima membabitkan isu berkaitan penginapan pekerja, ujian saringan Covid-19, bayaran gaji serta notis pemberhentian oleh majikan.

“Daripada jumlah itu, 29 aduan diterima dari pekerja tempatan dan selebihnya warga asing. Dua negeri tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 19 aduan diikuti Selangor, 18 aduan,” katanya lagi.

Aplikasi WFW dibina bagi membolehkan pekerja melaporkan 14 jenis aduan secara dalam talian.

Ia dikendalikan oleh 80 Pejabat Tenaga Kerja seluruh negara yang khusus untuk merekodkan aduan mengenai pekerja. – MalaysiaGazette