KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kebimbangan terhadap situasi pandemik Covid-19 yang semakin buruk di negara ini.
Ini kerana beliau telah menerima maklumat berhubung keadaan semasa di mana jangkitan pandemik itu boleh merebak kepada lebih 2,000 individu daripada seorang pembawa.
“Saya dapat maklumat daripada mereka yang terlibat dengan mengawal wabak ini bahawa Covid ini sudah sampai ke tahap yang amat serius.
“Sudah ada kes yang hanya satu orang sahaja (pembawa), 2,000 orang dijangkiti dan daripada jumlah itu lebih 20 orang telah meninggal dunia. Inilah yang berlaku kalau kita tidak ikut SOP,” katanya ketika menyampaikan kenyataan khas menerusi Facebook hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, meskipun pematuhan SOP tidak disukai banyak pihak namun hanya dengan mengikuti arahan yang disarankan sahaja ia dapat mengawal penularan wabak tersebut daripada terus semakin parah.
Beliau yang turut mengimbau ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang lalu, Dr Mahathir berkata, ketika itu penularan wabak tersebut dapat dikawal sehingga jangkitan dapat dikurangkan kepada dua digit.
Bagaimanapun, keadaan menjadi genting apabila virus tersebut telah menjadi pelbagai varian hingga tidak lagi dapat dikawal.
“Sebab itu besar kemungkinan jumlah akan bertambah tiap-tiap hari daripada sekarang sehingga katanya lebih daripada 5,000. Jadi kalau itu berlaku kita akan hadapi masalah. Tidak ada tempat di hospital kita yang mencukupi,” ujarnya.
Dr Mahathir memberitahu, peralatan perubatan di hospital untuk merawat pesakit juga tidak mencukupi dan jika ia berlarutan ia akan memberi implikasi yang lebih teruk.
Dalam pada itu, beliau memohon maaf kerana tidak pergi menunaikan solat secara berjemaah di masjid kerana bimbang terlalu ramai jemaah yang mendekatinya.
Perkara sama turut berlaku sekiranya beliau mengunjungi bazar Ramadan kerana ramai yang akan bertanya khabar dan kesihatan selain mahu bergambar dengannya.
“Saya nampak mereka akan bersesak-sesak dan ini boleh menimbulkan masalah terhadap jangkitan wabak itu. Terima kasihlah kerana mengambil berat terhadap kesihatan saya…tetapi hakikatnya mereka berdekatan dengan saya. Apabila kita adakan bazar Ramadan jumlah individu yang dijangkiti turut meningkat…inilah masalah yang perlu kita atasi,” tambahnya.
Dr Mahathir turut menegaskan agar rakyat sentiasa berdisiplin meskipun ada kawalan dibuat oleh pihak berkuasa kerana hanya dengan menjaga diri sendiri wabak tersebut dapat dikawal.
Beliau turut mengingatkan arahan agar tidak berkumpul pada sambutan perayaan Aidilfitri merupakan satu perkara yang amat penting.
Jelasnya, tidak perlu mengadakan kunjungan ke rumah-rumah rakan dan sanak saudara kerana itu bukanlah satu perkara yang baik sebaliknya, dibimbangi akan berlaku jangkitan wabak tersebut.
“Kita perlu sabar kerana kita nak lihat penyakit ini dikurangkan dengan tindakan oleh kita,” ujarnya.
Dr Mahathir turut menggesa mereka yang belum menerima suntikan vaksin agar perlu mendapatkannya segera kerana ia dapat mememberikan perlindungan kepada penerimanya meskipun tidak seratus peratus dilindungi.
“Kalau kita tidak berjaga-jaga kita boleh jadi seperti di negara India dan Brazil di mana ratusan ribu orang mendapat jangkitan tiap hari.
“Mereka tidak mampu rawat mereka yang jatuh sakit dan ramai diantara mereka dibiarkan begitu hingga meninggal dunia. Perkara ini boleh berlaku di Malaysia jika semua orang tidak berjaga-jaga.
“Saya rayu kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum tidak kira parti..tolonglah kurangkan kemungkinan untuk kita elak dijangkitan penyakit ini dengan kita patuh kepada SOP. Kalau boleh kita tinggal di rumah sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette