Seorang pelajar perempuan tingkatan satu di sebuah sekolah di Bukit Beruntung cedera dipercayai dipukul oleh pelajar lain dalam kejadian 4 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Rasa tidak puas hati kerana ejekan dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan satu cedera dipukul dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, satu laporan diterima oleh Balai Polis Bukit Sentosa pada 4 Mei lalu kira-kira pukul 6.26 petang dari seorang suri rumah berusia 41 tahun yang memaklumkan mengenai insiden tersebut.

“Semasa pengadu yang juga ibu kepada remaja perempuan terbabit berada di rumah, dia telah menerima panggilan kira-kira pukul 3.15 petang dari guru memaklumkan anaknya dipukul oleh pelajar sekolah berkenaan.

“Pengadu kemudiannya telah pergi ke sekolah dan melihat anaknya dalam keadaan terbaring serta mengalami kecederaan.

“Mangsa memberitahu ibunya terdapat dua pelajar perempuan yang dikenali telah memukulnya dengan menuduh mangsa mengejek suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arsad berkata, pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Jelas beliau, siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berpunca daripada ejekan oleh pelajar lain.

“Siasatan juga mendapati mangsa telah dipukul oleh beberapa orang pelajar di sekolah itu dan identiti pelajar terbabit telah pun dikenal pasti.

“Laporan awal perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan calar di bahagian dahi dan lebam pada lutut kiri,” ujarnya.

Menurut Arsad, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan kadar segera.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap tuduhan liar yang dibuat oleh individu yang memuat naik gambar-gambar berkaitan,” katanya.

Hari ini tular di laman Facebook apabila sebuah akaun berkongsi tiga keping gambar seorang pelajar perempuan yang lengkap memakai uniform sekolah terbaring di atas lantai dalam keadaan kesakitan berserta kapsyen ‘Budak Sekolah Dibantai Separuh Mati’. – MalaysiaGazette