PETALING JAYA – Anggota polis berpangkat Koperal ditahan selepas dipercayai menendang perut seorang pengawal keselamatan dalam kejadian di Taman Sri Manja semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pengadu seorang pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat satu laporan setelah melihat sebuah rakaman video pertengkaran melibatkan anggota yang tular di aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, pertengkaran berpunca apabila mangsa seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun tidak membuka palang pintu masuk di kawasan kediaman itu lebih awal sehingga suspek terpaksa memberhentikan motosikalnya.

“Berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua dan suspek mendakwa mangsa telah mengeluarkan kata-kata kesat sehingga suspek tidak berpuas hati.

“Dalam kejadian tersebut suspek telah bertindak menendang perut mangsa sehingga mengakibatkannya mengalami kesakitan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, suspek juga dikatakan mengugut untuk memukul mangsa menggunakan topi keledar miliknya.

Jelasnya, suspek yang bertugas di IPD Petaling Jaya kini ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Pihak polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan jenayah terhadap orang awam,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – Malaysia Gazette