Polis memulakan siasatan ke atas satu majlis buka puasa Ramadan 2021 yang didakwa ingkar SOP penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dihadiri beberapa tetamu popular termasuk instafamous dan juga pelakon baharu Nurin Afiqah tular di media sosial selai kesmeua penganjur akan dirakam keterangan secepat mungkin.

BERKISAH tentang pahala percuma ni, sangat menarik sebenarnya. Apalagi, ada yang beranggapan pahala free itu mudah saja nak dapatkan. Ya, memang mudah. Namun, jangan disalahertikan! Ia tidaklah semudah yang disangkakan. Silap-silap, ia boleh mendatangkan ganjaran dosa kepada yang mencetuskan sesuatu. Atau pendek kata, ia menjadi perkara yang tersangatlah sia-sia terhadap empunya diri.

Ya, kita masih pada bulan Ramadan al-Mubarak. Mubarak dengan bahasa mudahnya bermaksud kebaikan yang berganda-ganda dan menghasilkan ganjaran kebaikan yang banyak. Sebagai contoh, kita lakukan satu kebaikan, maka berturut-turut datang kebaikan yang lain dan ganjarannya pun menggunung. Sangat masya-Allah, bukan?

Jadi, perlulah kita sedari dan ambil kesempatan apalagi prihatin dengan saat dan waktu yang masih diberikan-Nya ini, kita dakap serta perbuatlah sebanyak mana kebaikan, bukan mencetuskan satu fenomena yang merasakan diri itu benar dan orang yang menegur itu berbuat dosa.

Kita sebagai masyarakat yang faham agama seharusnya tidak terjebak atau membiarkan situasi itu berleluasa. Apalagi ketika kita melihat yang melakukan itu adalah instafamous, selebriti mahupun artis yang mana model atau sikap yang ditonjolkan mereka sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat pada hari ini.

Jika sesuatu perkara itu baik, tentu saja ia memberikan saham yang membahagiakan. Namun jika sebaliknya, ia boleh menjadi bahana yang tersangatlah teruk kepada masyarakat, apatah lagi kepada mereka yang sangat fanatik dengan yang yang diidolakan itu.

Realitinya, mereka yang menjadi ikutan dan tumpuan ini seharusnya mempamerkan kebaikan kerana mereka mempunyai ‘follower’ yang melaluinya boleh menjadi jariah kebaikan yang berpanjangan atau sebaliknya.

Kenapa begitu?

Lihat sahajalah jika sesuatu kebaikan yang dilakukan mereka itu diikuti oleh masyarakat, maka bergandalah saham kebaikan yang diterimanya. Namun, ketika sesuatu yang buruk atau tepatnya menyalahi had (hukum) Allah dan Rasul-Nya, maka ganjaran apakah yang akan didapatkan selain dosa yang berpanjangan? Naudzubillah.

Memang tiada siapa yang dapat menghalang tercetusnya sesuatu fenomena dalam masyarakat ini. Namun, mereka yang menjadi ‘ikutan’ itu boleh saja mempamerkan watak yang baik agar pengikutnya melakukan sebagaimana yang ia lakukan itu.
Dalam satu sisi yang lain sebagaimana kata pensyarah Open University Malaysia
(OUM,) Dr Hamidah Mat: “Pada sudut yang lain pula, masyarakat umumnya seolah-olah dahagakan contoh dan panduan, ‘craving for example in life’, tercari-cari kehidupan yang
bagaimanakah perlu diikuti. Yang paling mudah ialah apa yang ditunjukkan oleh
para selebriti ini, tidak kira selebriti dalam apa juga bidangnya”.

Ujar beliau lagi, kiblat yang tercipta tanpa diminta ini telah menjadi tumpuan dan
penghukum kepada hampir segala aspek kehidupan manusia. Maka, berhati-hatilah kita.
“Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila hal-hal berkaitan dosa dan
pahala juga ditentukan oleh aktiviti mereka yang dipaparkan oleh para selebriti itu
itu. Sepertinya, tumpuan masyarakat pada hari ini sangat didominasi oleh
tindakan-tindakan golongan itu”.

Menurutnya lagi, barangkali disebabkan kelompongan-kelompongan harapan
yang ada dalam masyarakat, menjadikan mereka kecewa dengan
perkembangan-perkembangan terkini tanah air yang tidak mengujakan, maka
perkara-perkara remeh tentang kehidupan orang lain yang menjadi topik tumpuan
dan perbualan. “Pepatah Inggeris ada mengatakan “What you focus will grow.” Maka fikirkanlah!”

Sebenarnya, sampai bila mereka yang ahlinya akan bersuara menegur golongan
sebegitu daripada terus menyebarkan sesuatu yang bukan selayaknya? Lihat saja
tentang pahala percuma itu, kerana seorang ‘selebriti dakwah’ yang kata, maka
diiakan oleh mereka yang mengikutinya.

Bukan untuk menidakkan kata-kata itu, namun sekiranya kita membuka ruang yang
seluas-luasnya bagi orang lain mengatakan kesalahan yang telah diperbuat tanpa
merasa bersalah, boleh jadi ia akan mendatangkan sesuatu yang sebaliknya.

Adillah dalam mengenakan hukuman!

Suara-suara rakyat marhaen yang masih panas, bukan kerana dengki. Tetapi ia
lebih kepada ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat di negara ini, sekarang
ini. Segalanya penuh dengan keterikatan SOP, namun apabila di pihak golongan
tertentu, semua itu dilanggarnya.

Apabila golongan ‘have-have’, boleh saja melepasi segala SOP yang ditetapkan
pihak kerajaan. Namun, apabila rakyat marhaen melakukannya, laju sahaja
dikenakan tindakan bahkan hukuman yang sepertinya tidak masuk akal.

Teringat saya dengan penulisan semalam yang bertajuk ‘Pandemik membarah di
negara Bollywood’, sebagaimana kata ketua saintis di Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO), Dr Sumiya Swaminathan: “Virus ini tidak mengenal batas, kewarganegaraan, usia, jantina atau agama serta apa yang berlaku sekarang di India, sayangnya telah merebak di negara lain”. Jadi, pihak kerajaan sewajarnya janganlah mewujudkan ‘kasta’ dalam usaha memerangi pandemik yang hebat melanda dunia ini.

Boleh jadi ada benarnya tanggapan bahawa zaman ini semuanya perlu menjadi
‘orang kayangan’ untuk terlepas daripada belenggu yang dicipta pihak tersebut
hingga mencengkam rasa di hati umat. Ketika menjadi rakyat bawahan apalagi
tidak memiliki apa-apa keistimewaan, maka penindasan itulah dikenakan dengan
sewenang-wenangnya. Siapa lagi yang seharusnya prihatin akan semua ini?

Peka dan prihatinlah kita

Bukankah Ramadan yang kita lalui ini, sepatutnya menjadikan kita hamba-Nya
yang berbelas ihsan kepada yang lainnya? Tetapi situasi itu tidaklah demikian
hinggakan suara-suara kesal daripada peminatnya tidak dapat dibendung lagi.
Seperti kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustaz Dr Haji Mohd Parid
Sheikh Ahmad dalam Bicara Bina Negara (BBN-10) yang lalu: “Umat Islam perlu berubah menjadi anggota masyarakat yang peka dan prihatin tentang perkembangan negara dan dunia dengan semangat yang dibawa pada bulan Ramadan dan menerusi semangat Ramadan ini, kita perlu berubah menjadi anggota masyarakat yang peka dan prihatin tentang perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku dalam negara di
tengah-tengah umat Islam dan dunia”.

Jangan kita sebagai masyarakat yang tahu dan faham terus berdiam. Tegur dan
perbaikilah walaupun tidak dengan tangan (kuasa), maka marilah sama-sama kita
usahakan dengan mencegahnya dengan lisan.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW tentang mengambil berat antara satu sama
lain, antaranya: “Barang siapa melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya, kalaulah ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, kalau ia tidak mampu dengan
kata-kata, maka ubahlah dengan kebencian hati. Dan itulah ia selemah-lemah
iman”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hayati dan fahamilah hadis itu agar kita menjadi manusia yang sentiasa
bermuhasabah daripada terus mempercayai dan mengikut apa yang mereka
lakukan tanpa asas. Muhasabahlah.

Sudah berapa tahun usia kita.. Takkan selamanya nak dengan selemah-lemah iman
itu?

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast