Antara barangan yang dirampas termasuk sepucuk pistol tiruan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan kad penama bertulis Asistan Superintenden Polis (ASP) di sebuah kawasan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika melakukan rondaan, sepasukan anggota dari Balai Polis Petaling ternampak sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut anggota menemukan pelbagai barangan disyaki untuk melakukan kegiatan jenayah termasuk sepucuk pistol tiruan.

“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Selain sepucuk pistol tiruan, polis turut merampas sebutir menyerupai peluru, kereta Perodua Axia, kad penama bertulis ASP Ng Thean Leng, anak kunci, empat unit telefon bimbit dan tablet serta dua buah beg,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Anuar berkata, suspek kini ditahan reman bermula hari ini sehingga 14 Mei untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan melakukan jenayah. – Malaysia Gazette