Jadon Sancho

LONDON – Manchester United mahu memuktamadkan pembelian Jadon Sancho dengan tawaran bernilai £77 juta sebelum kempen Kejohanan Piala Euro 2020 membuka tirai Jun ini.

Laporan di Old Trafford mendakwa the Red Devils mahu mempercepatkan proses mendapatkan perkhidmatan bintang Borussia Dortmund itu.

Sebelum ini pasukan Ole Gunnar Solskjaer menyasarkan Erling Haaland dan Harry Kane untuk menguatkan jentera harapan pasukan untuk musim depan.

Namun, perkembangan terbaharu di Theatre of Dreams yang menyaksikan Edinson Cavani menyambung kontrak setahun lagi memaksa kelab elit itu menamatkan hasrat untuk memburu kedua-dua pemain itu.

Kini kelab berkenaan mengalih semula perhatian kepada pemain yang pernah menjadi sasaran mereka iaitu bintang muda England Sancho.

Yuran lumayan bernilai £90 juta oleh Man United pada Ogos lalu ditolak kelab Bundesliga Jerman itu yang tidak berganjak dari klausa asalnya £105 juta untuk pemain itu.

Namun kali ini Manchester United yakin £77 juta cukup untuk meyakinkan kelab berkenaan untuk mendapatkan Sancho.

Beberapa hari lalu, Sancho sebagai menjawab spekulasi yang menyelubungi dirinya bahawa dia tidak pasti hala tuju masa depannya selepas ini.

“Saya tak tahu sama ada saya akan berhijrah ke kelab lain atau sebaliknya kerana saya masih komited dengan Borussia Dortmund dan juga penyokong setia kelab ini sehingga hari ini,” dakwanya.-MalaysiaGazette