KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan saham dan perjudian atas talian selepas menahan empat lelaki warganegara China menerusi serbuan di Mont Kiara semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, sepasukan anggota dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah unit kondominium sekitar pukul 6.35 petang dan menahan empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai menjadi pusat panggilan untuk tujuan penipuan pelaburan pasaran saham dan aktiviti perjudian atas talian bagi negara China.
“Premis tersebut telah disewa sejak lima bulan yang lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM8,000 sebulan manakala setiap pekerja diberikan gaji RM6,500 sebulan oleh sindiket itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Saiful Annuar, menerusi serbuan itu, polis merampas sembilan buah laptop, 26 buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit tablet, tiga unit ‘external’, modem, simkad, kad tambah nilai serta serangkai kunci.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM95,550 dan mata wang asing (Peso 55,150 dan RMB 4,400).
“Kita anggarkan kesemua nilai rampasan berjumlah RM180,000.
“Kesemua suspek akan direman bermula hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Malaysia Gazette