KUALA LUMPUR – UMNO yang menyambut jubli intan hari ini akan kekal hidup dan disokong rakyat jika majoriti ahli dan pemimpinnya istiqomah dengan perjuangan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, jika perjuangan itu masih wujud, Insya Allah UMNO akan lebih tua daripada umur Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang.

“UMNO tidak akan mati kerana faktor lain. Buatlah apa sahaja. Perjuangannya adalah nyawanya.

“Kalau yang berjuang jadi minoriti, UMNO akan mati,” katanya.

Sebab itu apabila UMNO diharamkan, ia tidak mati.

Malah, ketika UMNO terbelah dua (team A dan team), UMNO juga tidak mati.

Hatta bila UMNO hilang kuasa ia juga tidak mati.

Sebaliknya, kata beliau, lihat sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia 1.0 yang bertukar menjadi Pejuang dalam tempoh 22 bulan.

Hanya 4 Ahli Parlimen bersamanya, kata Mohd Puad lagi.

”Bagaimana PPBM 2.0 di bawah Muhyiddin? Bila ia hilang kuasa di Johor, Melaka, Perak, Kedah ia hanya bergantung kepada kuasa di pusat Ia tidak sempat membina grassroot (akar umbi). Ia bukan parti yang lahir kerana perjuangan.

”Ia bukan parti perjuangan. Sebab itu ia tadah katak yang melompat masuk,” ujar beliau. – MalaysiaGazette