JPN Selangor Ministry of Education (MOE) teacher rape jokes SMK Puncak Alam Ain
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang guru pendidikan jasmani Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam yang didakwa bergurau menggalakkan perbuatan rogol telah ditukar ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), guru itu dipindahkan sehingga siasatan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kata-kata tidak wajar semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) selesai untuk tindakan lanjut.

Katanya, kementerian itu telah mengambil maklum akan laporan polis yang dibuat oleh pelajar berkenaan mengenai kejadian  yang berlaku di sekolah tersebut pada 24 April lalu.

“Berikutan insiden itu masih dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan itu.

“Ketika ini KPM menempatkan guru itu di JPNS sehingga siasatan itu selesai dan tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini,” katanya.

Berikutan itu, KPM sedang meneliti perkara yang tular mengenai komen yang didakwa dibuat Pengetua SMK Puncak Alam terhadap murid berkenaan menerusi laman Facebook.

“KPM juga mengesahkan bahawa satu laporan polis dibuat Pengetua terbabit di Balai Polis Kuala Selangor.

“Beliau (Pengetua sekolah) menafikan telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam,” katanya.

Sementara itu, KPM yang menjelaskan mengenai Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah memberitahu, sekolah berkenaan telah mengeluarkan enam surat kepada pelajar tersebut pada 16 hingga 30 April lalu.

“Amaran pertama yang diterima murid berkenaan, Pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sisten Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bewrtulis kepada pihak sekolah, guru, melalui sistem ini, akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah sebagai amaran pertama yang kemudian diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid tersebut.

“Secara umumnya, surat pemberitahuan ini dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa, penjaga dan juga pihak sekolah mengetahui dan cakna akanm kehadiran serta keberadaan murid semasa sesi persekolahan,” ujarnya.

Selain itu, menurut kenyataan tersebut, tindakan berkenaan juga akan membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya. – MalaysiaGazette