Pemain Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (kanan) cuba melepasi penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kemelut kewangan yang berlaku dalam pasukan Perak FC memaksa beberapa tonggak utama memilih untuk berhijrah ke pasukan lain demi masa depan mereka.

Selepas kehilangan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula ke pasukan JDT, Perak juga turut melepaskan Kenny Palraj dan J. Partiban ke pasukan Kuala Lumpur City.

Namun begitu, beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih berat hati untuk meninggal pasukan kelahirannya itu.

“Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Malah, beliau juga membayangkan terdapat ramai lagi pemain Perak akan menyertai pasukan lain disebabkan oleh sikap pengurusan pasukan itu yang tidak menghormati mereka.

“Siapa yang akan keluar (daripada pasukan) saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier.

“Mereka kecewa sampai ada (pengurusan) yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing,” jelasnya. – MalaysiaGazette