Orang awam mengambil kesempatan untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini tidak membenarkan aktiviti ziarah pada Aidilfitri yang menjelang esok.

Ini bermakna, umat Islam hanya dibenarkan meraikan hari raya itu dengan keluarga yang berada dalam satu rumah sahaja.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang Safira Rosdi, 27, untuk meraikannya bersama-sama jiran tetangga di Keramat, di sini, dengan norma baharu.

Apa yang akan dilakukan adalah berkongsi juadah masakan pada  pagi raya dengan jiran tetangga.

Orang awam, Safira Rosdi, 27 ditemu ramah mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

Beliau akan menyiapkan juadah untuk dikongsikan dengan jirannya esok, tanpa perlu berkunjung.

“Kita pun tidak boleh balik kampung, belilah persiapan di hari terakhir iaitu ketupat.

“Sekarang beli barang basah untuk sehari sahaja dulu, kemudian nanti akan keluar lagi belilah tengok keperluan. Hidangan pun beri kepada jiran dalam bungkus, sebab tidak dapat kunjung mengunjung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Orang awam, Nurliza Abdul Mazin, 44 ditemu ramah mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

Bagi Nurliza Abdul Mazin, 44, beliau membuat keputusan untuk hanya memasak satu jenis hidangan sahaja pada pagi raya.

Justeru itu, beliau tidak membeli barangan keperluan dengan banyak tahun ini, sebaliknya sudah membuat persediaan lebih awal.

Meskipun sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kuala Kangsar untuk dua tahun berturut-turut, Nurliza berkata, beliau  mahu memastikan keluarganya meraikan Aidilfitri.

“Hari ini saya beli hanya untuk masak satu menu sahaja, untuk Hari Raya pertama sahaja. Seminggu lagi saya sudah beli awal. Sebab tidak mahu bersesak sangat.

“Memang sedih memandangkan dua tahun tidak balik untuk beraya dengan keluarga tetapi semangat raya tetap ada,” katanya lagi.

Orang awam, Syaiful Nazrin, 26, ditemu ramah mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

Berbeza bagi Syaiful Nazrin, 26, beliau bernasib baik kerana tinggal bersama ibunya di Keramat, Kuala Lumpur.

Adik-beradiknya yang lain juga tinggal di kawasan berdekatan sahaja, justeru tidak ada halangan untuk mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama esok.

“Saya duduk dengan mak saya sahaja, abang saya pula tinggal di daerah yang sama jadi kami beraya bersama.

“Keluarga di KL tinggal berdekatan sahaja,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Dari segi persiapan juadah pula, Syaiful berkata, tidak banyak barangan basah yang dibeli memandangkan keluarganya hanya akan memasak juadah sekadar ala kadar sahaja. -MalaysiaGazette