JOHOR BAHRU – Sebanyak 3,885 kompaun melibatkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, dalam tempoh bermula 13 Januari hingga semalam dikeluarkan polis Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mencatatkan jumlah kompaun tertinggi iaitu dengan sebanyak 702, diikuti kawasan IPD Segamat (677), IPD Kulai (530) dan IPD Iskandar Puteri (516).

“Segamat contohnya, ini daerah kecil tapi jumlah kompaun tinggi. Oleh itu, kita akan menumpukan jalan dan laluan yang bersempadan dengan negeri lain di kawasan berkenaan, bagi memastikan tiada individu cuba merentas sempadan untuk balik beraya.

“Segamat mempunyai lima jalan tikus di kawasan Felda, tetapi sekarang semuanya sudah kita tutup. Mungkin ada individu tidak bertanggungjawab masih mahu menggunakan jalan itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke sekatan jalan raya di Jalan Gemas Baru, Segamat, hari ini.

Bagaimanapun Ayob memberitahu, setakat hari pertama Aidilfitri, kadar pematuhan SOP dalam kalangan penduduk negeri Johor secara  pada tahap 98 peratus.

“Ada daerah mencatatkan kadar pematuhan rendah dan ada daerah lain yang tinggi, tetapi secara purata 98 peratus.

“Tadi pun kita tengok tidak banyak kenderaan atas jalan. Kalau pun ada cubaan merentas, jumlahnya kecil,” katanya. – Malaysiagazette