Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memantau pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena perayaan Aidilftiri di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mempunyai hikmahnya, ia bukan sahaja untuk membendung penularan pandemik Covid-19 sahaja di negara ini.

Sebaliknya kadar indeks jenayah di seluruh negara terkawal dan menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh pelaksanaan kawalan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, trend penurunan itu hasil operasi dilakukan pihak polis secara berterusan bagi mengesan aktiviti jenayah di lapangan.

“Bagi tempoh PKP 3.0 ketika ini (dikuatkuasa bermula semalam) trend jenayah masih terkawal dan menurun kerana kehadiran pasukan pemantau polis yang turun padang.

“Sedikit sebanyak kehadiran anggota beruniform telah mengurangkan penjenayah melakukan jenayah dan pasukan JSJ masih mengambil tindakan pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau menyatkan demikian selepas selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke KL pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap kepada media selepas memantau pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena perayaan Aidilftiri di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2021.

Menurut Huzir, sepanjang tempoh PKP, pihaknya akan meneruskan operasi, siasatan dan proses pendakwaan.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

Berikutan peningkatan bilangan kes positif harian Covid-19, kerajaan melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan. – MalaysiaGazette