JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan bagi bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Johor sempena 1 Syawal, baginda bertitah segalanya bermula dengan diri kita untuk mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan.

“Jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka serta jaga penjarakan fizikal.

“Saya berpandangan adalah amat penting juga untuk semua saluran penyampaian kerajaan mesti telus, jelas dan konsisten dalam sebarang penyampaian maklumat kepada segenap lapisan masyarakat.

“Saya dan keluarga sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya situasi COVID-19 ini akan berakhir secepat mungkin, Insya-Allah,” titah baginda.

Dalam muat naik itu, Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, mengenakan persalinan baju raya sedondon bewarna merah jambu.

Sementara itu, Sultan Johor turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas kurniaan nikmat menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dan kita bertemu lagi dengan bulan Syawal.

“Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan amat berharap rakyat dapat bersabar dengan dugaan yang dilalui ketika ini,” titah baginda.-MakaysiaGazette