KUALA LUMPUR – Jangkaan polis tahap pematuhan orang awam yang ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya ketika musim sambutan Hari Raya Aidilfitri agak meleset kali ini.
Ini kerana arahan PKP 3.0 yang bermula 12 Mei lepas seluruh negara bagi membendung penularan Covid-19 dipatuhi masyarakat umum dengan penuh displin.
Ketua Polis Balai Sungai Besi, Inspektor Mohd. Zulkarnain Illyas berkata, pihaknya cukup berpuas hati dengan tahap pematuhan yang ditonjolkan oleh penduduk setempat sejak bermulanya PKP.
Menurutnya, pasukan polis Sungai Besi yang memantau sambutan Hari Raya Aidilfitri siang dan malam sejak PKP mendapati masyarakat setempat akur dengan SOP.
“Rata-rata rumah yang saya kunjungi ini ada menyediakan sanitizer, gerai atau kedai di kawasan perumahan pula ada menyediakan QRCode MySejahtera untuk kegunaan pelanggan. Semua ini adalah arahan asas yang diikuti dengan baik.
“Rumah-rumah yang kita kunjung secara mengejut ini pula tidak dibanjiri oleh orang luar atau jiran-jiran, hanya ahli keluarga sahaja. Sebenarnya pemantauan rumah ke rumah ini telah dilakukan oleh kami sejak 1 Syawal dan bersambung hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi pematuhan secara mengejut di beberapa kawasan sekitar Sungai Besi bersama MalaysiaGazette di sini hari ini selepas solat Jumaat sebentar tadi.
Sambung Mohd. Zulkarnain, pihaknya keluar mengadakan operasi dalam kumpulan besar pada Hari Raya pertama dengan jangkaan ramai ingkar.
“Semalam kita jangka mungkin ada banyak yang ingkar SOP kerana hari pertama raya tapi syukur Alhamdulilah kerana tidak ada yang melanggar arahan beraya beramai-ramai atau perkara-perkara yang dilarang ketika ini.
“Selain pantau rumah ke rumah, kita juga ke lokasi ‘hotspot’ seperti di pasar raya, kami buat pengumuman berkaitan SOP menggunakan pembesar suara kepada pelanggan yang hadir. Ini kita lakukan dari semasa ke semasa sepanjang PKP.
“Tempat-tempat tumpuan begini masyarakat boleh lupa untuk patuhi garis panduan secara tidak sengaja juga jadi kita perlu ingatkan. Secara keseluruhan, kita sangatlah berpuas hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Zulkarnain sekali lagi mengulangi nasihat kepada masyarakat umum supaya terus akur dan patuh kepada arahan pihak berkuasa terutamanya ketika PKP demi kesejahteraan semua.
“Kita masih belum menang lagi, kita masih lagi berperang dengan Covid-19 dan ianya satu musuh yang kita tidak nampak langsung dengan mata kasar.
“Kemungkinan untuk kena jangkitan virus ini amat tinggi, kita tidak sedar mana ianya berada, jagalah kebersihan seperti sentiasa cuci tangan, bila keluar tolonglah pakai pelitup muka, jaga jarak masing-masing. Ingatlah, kita jaga kita sebenarnya,” tegasnya. -MalaysiaGazette