Judi Online di sebuah premis di Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur ditumpaskan dengan tertrangkapnya tiga suspek lelaki tempatan dalam serbuan 9.30 malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang terlibat dalam kegiatan judi dalam talian dengan menjadikan sebuah premis rumah kedai sebagai pusat operasi kegiatan itu berjaya dibongkar polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pasukannya  telah menyerbu premis berkenaan sekitar jam 9.30 malam tadi di Jalan Sri Sentosa 8A, Taman Sri Sentosa, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan berada di dalam premis tersebut bersama peralatan-peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan akitiviti perjudian.

“Analisa pakar judi ke atas peralatan-peralatan yang dijumpai di dalam premis mendapati terdapat unsur-unsur yang disyaki berkaitan dengan aktiviti perjudian,” katanya menerusi kenyataan kejayaan itu pagi ini.

Tambah Anuar, polis kemudian menahan ketuga-tiga suspek berkenaan yang berumur antara 39 hingga 43 tahun.

Dalan serbuan sama, polis merampas barang-barang yang disyaki digunakan untuk kegiatan judi dalam talian iaitu sebuah tablet jenama Celltech yang menggunakan laman sesawang kiosk.tv13888.com/main.php;

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua buah tablet jenama Celltech yang menggunakan aplikasi games; dua buah tablet jenama Celltech (tidak berfungsi); sebuah tablet jenama DIY (tidak berfungsi); dua buah unit TM Wifi jenama TM; dan Wang tunai sebanyak RM160/-.

Ketiga-tiga suspek akhirnya mengaku terlibat dalam menjalankan aktiviti perjudian atas talian selepas siasatan lanjut dibuat.

Salah seorang suspek bekerja sebagai Pengendali Tablet Judi dan baru bekerja selama sebulan dengan gaji lebih kurang RM1,500 sebulan manakala dua lagi suspek merupakan pelanggan di premis berkenaan.

Semua tangkapan dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953

Polis Brickfields menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram. – MalaysiaGazette