Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membuat usul tergempar mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan dan kekejaman tentera pengganas Israel terhadap rakyat Palestin.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sidang khas itu membolehkan Ahli Parlimen bersidang dan membentangkan usul solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi terhadap rakyat Palestin.

“Ia bagi membolehkan pendirian Malaysia disuarakan secara tegas dan keras terhadap aksi keganasan dan kebiadaban Israel mencabuli hak asasi manusia dan melakukan jenayah perang yang amat melampau.

“Umum mengetahui punca ketegangan di timur Baitulmaqdis sekarang adalah rentetan tindakan Israel mengubah kawasan kejiranan Palestin menjadi kawasan kejiranan Yahudi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, Jumaat lepas.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan berkata, perbuatan zalim itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya, malah Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, Parlimen Malaysia mesti mengusulkan agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera campur tangan sebelum ramai lagi nyawa orang awam terutama wanita dan kanak-kanak terkorban.

“Tindak balas Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap himpunan awam rakyat Palestin bukan sahaja tidak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Ia jelas melanggar Resolusi 2334 Dewan Keamanan PBB berkenaan larangan membangunkan pemukiman baharu Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tahu pun tindakan enggan tendang keluar Baitulmaqdis dari Palestine untuk kompromi masalah politik dengan kaum Yahudi dari Israel berbanding tendang keluar Singapore dari Malaysia dan serah Penang kepada kaum Cina untuk kompromi masalah politik dengan kaum Cina dari Tanah Besar China. Tengok negara kecil DR ratifikasi ICERD tetapi demi hak pribumi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

Comments are closed.