KUALA LUMPUR – Empat orang remaja sekolah yang disyaki terlibat dalam perbuatan jenayah membaling mercun berbentuk bola ke arah polis di sebuah pangsapuri di Sentul berjaya ditangkap.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, keempat-empat suspek adalah berusia 14 hingga 16 tahun.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan polis Bahagian Siasatan Janayah IPD Sentul telah menahan empat remaja berkenaan di pangsapuri Seri Perak antara 10 malam hingga 3 pagi tadi.
“Kesemua suspek adalah rakan satu sekolah yang masih belajar lagi dan menerusi soal siasat mereka mengaku secara langsung bertanggungjawab membaling mercun berbentuk bola ke arah polis yang datang menyuaraikan penduduk berkumpul beramai-ramai bermain mercun,” katanya ditemui di ibu pejabat polis beliau di sini.
Tambah beliau, dengan penangkapan empat suspek terakhir itu, setakat ini polis telah menahan lapan suspek.
Artikel berkaitan: Polis dilontar mercun ketika suraikan 200 penduduk pangsapuri
Lontar polis dengan mercun: Empat penduduk termasuk 2 remaja ditahan
Keempat-empat pelajar sekolah itu telah direman selama tiga hari sehingga 17 Mei ini untuk membantu siasatan polis.
Kata Eng Lai, polis telah menjalankan soal siasat lanjut sejurus ditangkap dan kesemua pelajar berkenaan mengaku membaling mercun kerana kecewa dengan kehadiran polis yang menghalang aktiviti permainan mercun di pangsapuri itu.
“Mereka mengaku belajar di sekolah yang sama tetapi tinggal di pangsapuri berlainan kerana ada yang ditahan di rumah mereka di Pangsapuri Seri Perak dan ada yang ditangkap dari pangsapuri berdekatan yang tidak jauh dari situ.
“Remaja berkenaan juga mengaku membekal dan membaling mercun ke arah polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette