KUALA LUMPUR – Sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika menyuraikan kira-kira 200 penduduk yang berkumpul bermain bunga api di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti orang ramai membakar mercun secara terbuka di lokasi berkenaan pada jam 12.50 pagi tadi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan polis Sentul mendapati kira-kira 200 individu dipercayai penduduk pangsapuri berkenaan berkumpul beramai-ramai di kawasan tempat letak kereta dan sedang bermain mercun.

“Keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun yang tidak terkawal apabila kehadiran polis disedari oleh penduduk pangsapuri itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, anggota polis bertugas di kawasan perumahan itu telah beberapa kali memberi amaran kepada orang awam yang berkumpul itu untuk bderhenti bermain mercun dan bersurai namun ia tidak diendahkan.

Menurut beliau, semasa pihaknya sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai anggota polis.

“Letupan kuat itu dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar penduduk ke arah anggota polis di lokasi.

“Selepas letupan itu, orang ramai kemudian segera beredar dari kawasan berkenaan,” katanya.

“Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas kejadian itu berlaku dan keadaan di lokasi kejadian berjaya dikawal pihak polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil kerana menakutkan secara jenayah dan larangan membakar bunga api yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette